WASHINGTON, 21 Jun – Gabenor Texas Greg Abbott telah mengeluarkan deklarasi bencana cuaca buruk bagi 51 daerah di negeri itu ketika Ribut Tropika Alberto bergerak ke Teluk Mexico, menyebabkan banjir kilat di negeri selatan Amerika Syarikat (AS), lapor United Press International (UPI).

Gabenor mengeluarkan deklarasi itu pada Rabu, menyediakan  sumber negeri untuk membantu berpuluh-puluh daerah agar bersiap sedia menghadapi Alberto.

Abbott dalam satu kenyataan berkata Texas bekerjasama rapat dengan pegawai tempatan dan kakitangan tindak balas kecemasan untuk menggerakkan semua bantuan yang diperlukan dengan segera ketika hujan lebat, angin ribut tropika dan banjir pesisir melanda komuniti di Texas Selatan dan Coastal Bend.

“Saya menggesa warga Texas di kawasan berisiko untuk sentiasa peka terhadap cuaca dan mematuhi panduan pegawai negeri dan tempatan untuk memastikan keselamatan diri dan keluarga mereka,” katanya.

Menurut Pusat Taufan Kebangsaan, ribut itu dikesan kira-kira 217 kilometer (km) timur-tenggara Tampico, Mexico, dan 514 km selatan-tenggara Brownsville, Texas.

Peramal cuaca memberi amaran bahawa Alberto akan terus membawa hujan lebat, banjir di kawasan pantai dan angin kencang di sepanjang pantai Texas, dengan bandar Galveston dan Surfside Beach sudah dilanda banjir kilat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here