JAKARTA, 22 Jun – Agensi meteorologi Indonesia telah mengesan lima titik panas kebakaran hutan dan tanah di wilayah Riau, khususnya di daerah Bengkalis, Kuantan Singingi dan Indragiri Hulu.

“Kami telah mengenal pasti satu titik panas di daerah Bengkalis, dua di Kuantan Singingi dan dua lagi di Indragiri Hulu,” kata Indah DN, peramal cuaca dengan Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Pekanbaru.

Bercakap kepada saluran berita tempatan Berita Satu pada Jumaat, beliau juga menyatakan titik panas yang sama di wilayah lain, dengan masing-masing dua di Sumatera Selatan dan Lampung.

Dalam kemas kini cuaca untuk Pekanbaru, Indah melaporkan keadaan langit berawan dan meramalkan hujan di beberapa daerah.

Mengenai kualiti udara, beliau melaporkan bahawa Pekanbaru dan kawasan sekitarnya pada masa ini mempunyai kualiti udara yang baik, dengan tahap zarah terampai yang sederhana dicatatkan.

Indonesia sering menghadapi keadaan kemarau berulang, mengalami kebakaran hutan dan tanah yang meluas setiap tahun.

Walaupun kesan El Nino meningkat dan keadaan lebih kering pada tahun 2023, Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan melaporkan pengurangan ketara dalam kebakaran hutan dan tanah, turun 31 peratus berbanding tahun 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here