PHNOM PENH, 23 Jun – Kemboja dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berjanji untuk mempertingkatkan lagi kerjasama dalam kesihatan awam, kata Kementerian Luar Kemboja dalam satu kenyataan akhbar pada Ahad.

Komitmen itu dibuat semasa mesyuarat antara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Kemboja Sok Chenda Sophea, dan Pengarah Serantau WHO bagi Pasifik Barat, Saia Ma’u Piukala, di sini pada Jumaat.

Chenda Sophea memuji usaha WHO untuk memajukan kesihatan global dan menyatakan penghargaan mendalam atas sokongan dan sumbangan berterusan kepada kesihatan awam Kemboja, menurut kenyataan itu.

Beliau berkata tumpuan Kemboja adalah untuk memperbaiki sistem perlindungan kesihatan sosial, memperkukuhkan kapasiti perkhidmatan perubatan utama di pusat kesihatan dan hospital rujukan daerah, serta meningkatkan kualiti perkhidmatan, katanya.

“Dalam hubungan ini, beliau menyatakan komitmen Kemboja untuk terus mempertingkatkan kerjasama dengan WHO bagi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Kemboja,” kata kementerian itu.

Piukala pula berkata beliau berharap dapat meneruskan kerjasama yang kukuh, sambil menegaskan bahawa WHO bersedia memberikan sokongan kepada Kemboja berdasarkan keperluan dan konteks negara ini, menurut kementerian itu.

Piukala juga memaklumkan Chenda Sophea mengenai kemajuan Strategi Kerjasama Negara Kemboja-WHO 2024-2028, yang kini berada di peringkat akhir draf.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here