DOHA, 24 Jun – Bahrain dan Iran telah bersetuju untuk memulakan persiapan bagi rundingan untuk menyambung semula hubungan dua hala selepas lapan tahun terhenti, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Isnin.

Menteri Luar Bahrain Abdullatif Rashid Al Zayani dan Pemangku Menteri Luar Iran Ali Bagheri Kani pada Ahad mengadakan pertemuan dua hala di Tehran semasa lawatan Al Zayani ke Iran untuk menyertai Dialog Kerjasama Asia.

“Semasa pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk mewujudkan mekanisme yang diperlukan bagi memulakan rundingan antara kedua-dua negara dan meneroka kemungkinan menyambung semula hubungan politik,” menurut kenyataan bersama oleh kementerian luar Iran dan Bahrain yang dipetik oleh Agensi Berita Bahrain.

Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada Jan 2016 selepas misi diplomatiknya di Iran diserang berikutan pelaksanaan hukuman mati terhadap ulama Syiah Nimr al-Nimr. 

Arab Saudi disertai oleh Bahrain, Sudan, Djibouti, Somalia dan Comoros manakala Emiriah Arab Bersatu menurunkan hubungan diplomatiknya dengan Iran dan Kuwait memanggil balik dutanya. 

Arab Saudi memulihkan hubungan dengan Iran pada Sept 2023 selepas perdamaian mereka diatur oleh China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here