KUALA LUMPUR, 26 Jun – Penganjuran Minggu Budaya Malaysia 2024 oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Urumqi, Xinjiang, China dari 26 hingga 30 Jun ini, merupakan antara usaha kerajaan untuk mempromosikan produk pelancongan negara.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Acara MOTAC Rosnan Abdul Rahman berkata antara yang akan dipromosikan adalah pelancongan Islamik dengan mengambil kira separuh daripada populasi di Xinjiang merupakan masyarakat Islam makanan tradisional negara.

“Kami nak promosikan pelancongan mesra muslim, maka Islamic Tourism Centre of  Malaysia di bawah MOTAC akan merancang bagaimana nak bawa pakej-pakej menarik untuk dijual di sana dengan mengambil kira keinginan mereka,” katanya ketika diwawancara pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi. 

Beliau berkata kepelbagaian budaya dan seni di negara ini harus diserlahkan di peringkat antarabangsa untuk menarik lebih ramai pelancong sebagaimana yang dilakukan oleh beberapa negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

“Kita nak mengangkat dalam konteks pelancongan itu sendiri sebagai produk pelancongan budaya, dari negara-negara jiran kita tengok mereka sendiri pun mengarahkan fokus ke arah seni budaya itu sebagai produk pelancongan yang mempunyai seni, nilai dan budaya tinggi.

“Jadi masyarakat di Malaysia ini seperti Melayu, China, India, orang asal, ethnik Sabah dan Sarawak mempunyai budaya yang berbeza dan keunikan itu kita nak jadikan produk pelancongan sempena Visit Malaysia 2026,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa Kebudayaan MOTAC Dr Christina Yeo Ken Yin berkata durian ‘Musang King’ tempatan semakin menerima permintaan tinggi daripada masyarakat negara tembok besar itu.

“Ada kalangan mereka yang ketika datang ke Malaysia minta untuk makan durian segar di ladang. Dulu kita eksport durian sejuk beku tetapi sekarang permintaan durian segar daripada mereka telah meningkat,” katanya.

Selain itu beliau berkata Malaysia sedang membuat persediaan untuk menyertai Alliance for Cultural Heritage in Asia (ACHA) di peringkat Asia yang diterajui China untuk berkerjasama dalam bidang kebudayaan khususnya dalam pemuliharaan dan pemeliharaan seni, budaya dan warisan.

Program yang diadakan bersempena dengan Expo China-Eurasia kelapan itu turut akan mempromosikan makanan tradisonal negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here