KUALA LUMPUR, 26 Jun – Presiden Perhimpunan Kebangsaan dan Speaker Dewan Perwakilan Thailand Wanmuhamadnoor Matha, hari ini mengadakan lawatan ke Parlimen.

Ketibaan beliau dan delegasi pada 3 petang, disambut Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor dan Ketua Pentadbir Parlimen Datuk Muhamad Zamani Mohd Ali.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Parlimen Malaysia, delegasi berkenaan kemudiannya dijemput untuk memerhatikan sesi persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

“Satu sesi mesyuarat antara Wanmuhamadnoor dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul bersama ahli Kumpulan Persahabatan Parlimen Malaysia bagi Asia Tenggara, juga telah diadakan.

“Ia membincangkan kerjasama strategik antara Malaysia-Thailand dalam ASEAN, termasuk pembangunan kapasiti antara Parlimen Malaysia dengan Parlimen Thailand, isu pendidikan, perkembangan komuniti Islam di Thailand serta hal berkaitan pekerja Thailand di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Wanmuhamadnoor berada di Malaysia bagi lawatan rasmi tiga hari sehingga Khamis, bertujuan untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala serta kerjasama dalam pelbagai bidang di antara Malaysia dan Thailand.

Wanmuhamadnoor ialah seorang ahli politik Muslim dari selatan Thailand dan dipilih menjadi President of the National Assembly dan sebagai Speaker of the House of Representatives of Thailand, masing-masing pada 4 Julai dan 14 Mei 2023.

Beliau juga pernah berkhidmat dalam beberapa jawatan Kabinet termasuk timbalan perdana menteri, menteri dalam negeri, menteri pengangkutan dan menteri pertanian.

Menurut kenyataan itu Wanmuhamadnoor turut dijadual akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, esok.

“Dengan adanya lawatan rasmi ini, diharapkan hubungan persahabatan antara Parlimen Malaysia dan Parlimen Thailand ini akan terus diperkukuh dan seterusnya akan dapat bersama-sama mencari titik kesepakatan dalam menangani isu dan cabaran serantau,” menurut kenyataan itu.

Pada 2023, Thailand merupakan rakan dagangan global ke enam terbesar bagi Malaysia, destinasi eksport ke enam terbesar dan sumber import ke lapan terbesar bagi Malaysia, serta rakan dagang dalam kalangan negara anggota ASEAN kedua terbesar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here