KUALA LUMPUR, 27 Jun – Pejabat Pelaburan Digital (DIO) meluluskan pelaburan digital bernilai RM161.97 bilion dari tempoh penubuhannya pada 2021 hingga Mac 2024, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) MIDA Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata pencapaian itu melepasi sasaran pelaburan pendigitalan RM70 bilion yang ditetapkan sebagai sebahagian daripada strategi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia bagi 2025.

Beliau berkata satu daripada bidang yang mencatatkan kecemerlangan dalam menarik pelaburan ialah pusat data berskala besar.

“Malaysia berkembang maju sebahagian besarnya dipacu penggunaan awal teknologi terkini dan melaksanakan model perniagaan inovatif yang memacu pertumbuhan lebih luas.

“Ekonomi digital telah membolehkan syarikat memperoleh akses kepada pasaran baharu dan membuka pelbagai kemungkinan untuk berdagang dengan memudahkan aliran lancar barangan, perkhidmatan dan data merentas sempadan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Forum Perniagaan Asean 2024 di sini, pada Rabu.

Beliau berkata dalam ruang ekonomi, Malaysia dan Singapura secara substantif memuktamadkan kerangka kerjasama dalam ekonomi digital dan ekonomi hijau.

Sivasuriyamoorthy berkata rangka kerja ekonomi digital akan memperkasakan lagi perniagaan untuk menyepadukan operasi mereka secara digital di peringkat global, sekali gus meningkatkan daya saing ekonomi.

“Negara sedang melaksanakan strategi dan kriteria pelaburan pragmatik untuk institusi dan ekonomi, termasuk pencapaian teknologi pesat dan pendigitalan yang meluas.

“Ini merupakan kunci kepada kerelevanan berterusan negara sebagai hab antarabangsa untuk pengangkutan, perniagaan dan kewangan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here