BANGKOK, 27 Jun – Thailand dan Bhutan berikrar untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor selepas pertemuan antara Perdana Menteri Srettha Thavisin dan rakan sejawatnya dari Bhutan, Dasho Tshering Tobgay di sini pada Rabu.

Jurucakap kerajaan Thailand, Chai Wacharonke berkata kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memupuk hubungan perdagangan dua hala yang lebih erat dengan mempercepatkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) serta meningkatkan jumlah perdagangan kepada sasaran US$120 juta (RM565.5 juta) secepat mungkin.

“Thailand dan Bhutan juga komited untuk meningkatkan hubungan pengangkutan dan akan bekerjasama untuk mengukuhkan jaringan demi memudahkan pergerakan barangan dan orang ramai.

“Sebagai rakan pembangunan Bhutan, Thailand akan memberi sokongan menerusi perkongsian pengetahuan dalam bidang seperti penjagaan kesihatan, pertanian dan teknologi,” katanya dalam satu kenyataan selepas pertemuan antara Srettha dan Dasho Tshering pada Rabu.

Bagi kerjasama pelancongan, Chai berkata kedua-dua negara turut berharap untuk mempromosikan inisiatif ” Two Kingdoms, One Destination” yang bertujuan meningkatkan industri pelancongan di kedua-dua negara.

“Kedua-dua Perdana Menteri juga berpendapat terdapat kemungkinan untuk menubuhkan ‘Friends of Thailand-Bhutan Group‘ bagi memperkukuh ikatan antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, tenaga boleh diperbaharui adalah satu lagi bidang utama di mana kedua-dua negara boleh bekerjasama dengan berkongsi kepakaran dan amalan terbaik, kata Chai.

Thailand dan Bhutan juga boleh memajukan usaha mereka untuk mencapai keselamatan tenaga seperti tenaga hidro.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan dua majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) mengenai kerjasama perubatan dan pelancongan di Government House.

Dasho Tshering dan delegasinya dalam lawatan rasmi empat hari ke Thailand sehingga 28 Jun, bersempena ulang tahun ke-35 hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here