ALOR SETAR, 27 Jun – Universiti Utara Malaysia (UUM) disasarkan untuk menjadi ‘kampus tanpa tunai sepenuhnya’ (Fully Cashless Campus) atau pembayaran secara digital sepenuhnya menjelang hujung tahun ini

Pengarah Kanan Bahagian Pendigitalan Kerajaan Paynet Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Firdaus Ghani berkata beliau melihat UUM sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) pertama untuk mencapai status itu pada tahun ini menerusi kerjasama yang dijalinkan.

“Sektor pendidikan merupakan salah satu sektor tumpuan PayNet dalam usaha untuk meningkatkan penggunaan pembayaran secara digital atau ‘cashless payment’ di Malaysia, antaranya menjalinkan kerjasama dengan UUM untuk Projek Pendigitalan Kampus Tanpa Tunai.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada UUM atas keberanian dan usaha mereka menyahut cabaran untuk mencapai 100 peratus tanpa tunai pada tahun ini dan PayNet sedia menunggu berita baik daripada UUM menjelang akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata lebih tiga peratus atau 1.2 juta daripada jumlah populasi Malaysia merupakan penuntut IPT, justeru sektor itu dipilih susulan potensinya dalam memberi impak kepada aspirasi negara untuk beranjak ke arah ekonomi digital.

“Pelbagai inisiatif bersama sektor pendidikan telah dibuat sejak tahun 2019, projek ini merupakan projek rintis bagi PayNet atau kali pertama bekerjasama dengan IPT untuk beralih sepenuhnya kepada pembayaran digital.

“Lebih lima tahun PayNet bekerjasama dengan pelbagai IPT dan pelbagai program telah dilaksanakan. Pada tahun lepas, sektor pendidikan telah mencapai satu batu loncatan dengan mencatat rekod sebanyak RM11.8 juta transaksi pembayaran digital,” katanya.

Beliau turut berharap agar semua pengguna di IPT termasuk pelajar, pensyarah dan pihak pentadbir mengambil langkah proaktif dalam menggalakkan penggunaan pembayaran digital bukan sahaja di kampus tetapi juga di luar kampus.

Sementara itu, Naib Canselor UUM Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata projek itu merupakan satu bentuk usaha yang sangat penting dalam memastikan agenda pendigitalan universiti tercapai.

“Program ini bukan sahaja mencerminkan komitmen universiti dalam memajukan teknologi dan inovasi tetapi juga menandakan satu langkah penting ke arah masa depan yang lebih efisien, selamat dan inklusif melalui kerjasama yang lebih erat dengan rakan strategik UUM daripada industri iaitu Paynet.

“UUM sendiri telah bergerak sehaluan dengan perubahan dan keperluan semasa menuju ke arah kampus tanpa tunai. Pelbagai program kesedaran dan insentif galakan telah dilaksanakan bagi mendorong peniaga, pelajar, serta kakitangan di UUM ke arah mencapai matlamat itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here