SEOUL, 28 Jun – Kementerian Industri Korea Selatan pada Jumaat mengumumkan akan menambah 243 lagi item yang berpotensi digunakan untuk tujuan ketenteraan ke dalam senarai produk yang dikawal untuk dieksport ke Rusia dan Belarus.

Yonhap melaporkan bahawa keputusan itu meningkatkan jumlah item tersebut kepada 1,402, ketika Korea Selatan memperketat kawalan penghantaran barang-barang itu susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Produk yang baru disenaraikan termasuk peralatan pemotong logam, bahagian instrumen optik dan sensor, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan.

Barang-barang dalam senarai berkenaan dilarang dihantar ke Rusia dan Belarus, walaupun kerajaan boleh memberikan kelulusan berdasarkan kes demi kes, terutama untuk urus niaga yang dibuat sebelum pengumuman itu.

Peraturan baharu dijangka dilaksanakan menjelang akhir Ogos selepas melengkapkan prosedur yang diperlukan.

Penasihat Keselamatan Negara Korea Selatan Chang Ho Jin baru-baru ini membayangkan akan memperluas kawalan eksport terhadap Rusia selepas Moscow dan Pyongyang menandatangani “perjanjian strategik komprehensif” awal bulan ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here