BEIJING, 29 Jun – Presiden China, Xi Jinping mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Peru, Dina Boluarte di Dewan Besar Rakyat Beijing pada Jumaat.

Xi berkata, dengan usaha bersama China dan Peru, kerjasama antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang amat berhasil pada beberapa tahun kebelakangan ini. Beberapa projek kerjasama penting yang diusahakan syarikat China di Peru memainkan peranan yang amat signifikan bagi pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat di negara itu. 

Beliau menegaskan bahawa China memberikan perhatian tinggi terhadap hubungan dengan Peru dan bersedia meningkatkan kepercayaan politik, memperkasakan kerjasama pragmatik, mendorong saling belajar antara tamadun, mengintensifkan koordinasi pelbagai pihak, agar meningkatkan hubungan perkongsian strategik komprehensif China-Peru ke tahap baharu.

Boluarte pula menyatakan, pertukaran dan kerjasama antara Peru dengan China dalam bidang politik, ekonomi, perdagangan, kebudayaan dan lain-lain amat berhasil pada beberapa tahun kebelakangan ini. Pelaburan dan kerjasama yang dijalankan syarikat China di Peru bukan sahaja menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, tetapi juga membawa banyak teknologi dan pengalaman yang maju kepada negara itu. 

Beliau menekankan bahawa Peru menyokong siri inisiatif global yang dianjurkan oleh Presiden Xi dan bersedia meningkatkan komunikasi dan kerjasama dengan China dalam rangka pelbagai hala termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), bersama-sama memelihara multilateralisme dan mendorong keterbukaan ekonomi dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here