BERLIN, 29 Jun – China menjadi negara yang paling banyak mengemukakan permohonan paten di dunia,  menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan permohonan pada 2022.

Pada tahun itu, sebanyak 3.4 juta permohonan paten diluluskan di seluruh dunia berbanding hanya 635,000 pada 1980, antaranya hanya 44 permohonan dari China, menurut Persatuan Syarikat Farmaseutikal Berasaskan Penyelidikan Jerman (vfa).

“Peningkatan China sebagai hab perniagaan dan inovasi adalah sangat pesat,” kata Ketua Pakar Ekonomi vfa Claus Michelsen, sambil menambah bahawa pembangunan saintifik negara dan aktiviti paten yang terhasil “tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah ekonomi moden”.

Pada 2000, China mengembangkan sistem sains dan inovasi yang mencatat peningkatan ketara bagi bilangan pelajar universiti, daripada 7 juta pada tahun itu meningkat kepada lebih daripada 35 juta pada tahun ini.

Kebanyakan permohonan paten China antara 2018 dan 2022 membabitkan komputer, ‘sensor’ dan mesin elektrik serta teknologi digital.

Sementara itu, negara itu juga menunjukkan minat yang semakin meningkat dalam sektor farmaseutikal dan bioteknologi melalui aplikasi patennya.

Pada 2022, 1.5 juta permohonan paten telah difailkan dari 27 negara lain termasuk Amerika Syarikat, Jepun dan negara anggota Kesatuan Eropah, bersamaan sekitar 44 peratus daripada jumlah itu, menurut vfa.

Eropah masih mendominasi sektor automotif dan teknologi perubatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here