KUALA PILAH, 30 Jun – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diharapkan sentiasa menjadi pilihan utama untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, terutama dalam kalangan pelajar yang tidak mendapat keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata kebanyakan negara seperti Jepun dan China turut melihat TVET sebagai sistem pendidikan utama, yang menawarkan peluang kerjaya yang luas pada masa akan datang terutama kepada golongan muda.

“Sekarang kita mahu lihat bahawa untuk masuk ke universiti, tidak semestinya ada kelulusan SPM dalam sistem sebab ada yang masuk ke Kolej Matrikulasi dan Pusat Asasi, yang tidak ambil peperiksaan atau keputusan teruk, boleh mohon TVET.

“Ramai pelabur dalam dan luar negara, mereka memerlukan jurutera dan ahli teknikal, di mana nak dapatkan tenaga kerja itu kalau bukan TVET, sebab itu kita wujudkan banyak institusi TVET seluruh negara, ia juga membuktikan melalui TVET juga boleh melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat doktor falsafah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Pilah, yang dihadiri lebih 700 perwakilan daripada 126 cawangan di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata kadar lepasan TVET yang mendapat pekerjaan juga tinggi iaitu mencecah 94.5 peratus, manakala bakinya meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi termasuk Sijil Kemahiran Malaysia 3, 4 dan 5 atau politeknik serta universiti.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata anak-anak Tahfiz juga ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke TVET supaya mereka juga mampu mendapat kerja dalam bidang teknikal atau kejuruteraan, di samping mengukuhkan lagi bidang agama.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 200 tempat daripada 5,125 kuota mengikuti kursus jangka pendek dan sederhana latihan TVET ke China, ditawarkan kepada anak-anak Negeri Sembilan sekali gus memberi peluang kepada mereka.

“Kita akan kemukakan senarai nama ini bersama pelajar tempat lain yang telah saya tawarkan sebelum ini dan mereka akan dapat biasiswa dan tiket penerbangan ditanggung oleh MARA,” katanya. 

Pada 30 Mei lepas, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, 220 syarikat China menawarkan 5,125 kuota kepada pelajar Malaysia untuk menjalani latihan berkaitan TVET bagi jangka pendek, sederhana dan panjang sekali gus menjadi pengubah keadaan dalam melonjakkan industri TVET di Malaysia.

Tawaran itu adalah hasil jalinan kerjasama antara Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) dengan pihak industri berkaitan TVET di China iaitu Beifang Automotive Education Group dan Tang (M) International Education Group, melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here