Sempena ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara China dan Malaysia, Perdana Menteri China TYT Li Qiang telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 18 hingga 20 Jun. Dalam lawatan tersebut, saya mengiringi TYT Li Qiang telah mengunjungi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan mengadakan rundingan dua hala dengan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Kedua-dua pemimpin turut menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik China-Malaysia, jamuan tengah hari bersama komuniti ahli perniagaan China-Malaysia dan majlis perasmian pecah tanah Stesen Terminal Bersepadu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak. Dalam setiap acara tersebut, kami dapat merasai kesungguhan dan keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap hubungan China-Malaysia dan keikhlasan rakyat Malaysia yang memang sahabat sejati rakyat China. Lawatan TYT Li Qiang kali ini mencapai kejayaan luar biasa dan dilakukan dalam suasana yang cukup muhibah, sekali gus membawa hubungan China-Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. 

Pada 20 Jun, kerajaan China dan Malaysia mengeluarkan “Kenyataan Bersama Mengenai Mempertingkatkan Perkongsian Strategik Komprehensif ke Arah Komuniti Berkongsi Nasib China-Malaysia”. Ini merupakan hasil penting lawatan TYT Li Qiang ke Malaysia kali ini. Ia menggariskan persepakatan antara kedua-dua pihak mengenai kerjasama dalam pelbagai bidang dan juga mempunyai nilai strategik yang tinggi, berpandangan jauh. 

Kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkukuh hubungan strategik yang saling percaya dan asas politik komuniti berkongsi nasib China-Malaysia. Pada tahun 2013, Presiden Xi Jinping melawat ke Malaysia telah menubuhkan Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara. Pada tahun yang lalu, Presiden Xi Jinping dan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mencapai kata sepakat penting mengenai pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Malaysia. Pada tahun ini, sempena ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara China dan Malaysia yang mencatatkan sejarah, lawatan TYT Li Qiang telah membawa hubungan kedua-dua negara ke tahap yang lagi tinggi. Ini menunjukkan bahawa pemimpin kedua-dua negara telah memainkan peranan penting dalam pembinaan hubungan ini. China dan Malaysia akan terus mengutamakan hubungan dua hala dalam dasar luar masing-masing dan mengambil peluang berikutan sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik untuk mempercepatkan pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Malaysia. 

Pihak Malaysia menyanjung tinggi konsep yang dikemukakan oleh Presiden Xi Jinping, iaitu membina komuniti berkongsi nasib sesama insan, Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), konsep diplomasi yang mesra, ikhlas, saling untung dan inklusif sesama tetangga serta Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global dan Inisiatif Peradaban Global. China juga menyokong konsep “Malaysia MADANI”. Malaysia mengulangi komitmennya terhadap Dasar Satu China, mengiktiraf bahawa Taiwan ialah wilayah Republik Rakyat China yang tidak boleh dipisahkan, menyokong China mencapai penyatuan semula negara dan dengan itu tidak akan menyokong sebarang seruan kemerdekaan Taiwan.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk memperdalam penyelarasan pembangunan, mengaktifkan sumber motivasi yang tidak pernah habis bagi komuniti berkongsi nasib China-Malaysia. Kedua-dua pihak akan memastikan penyelarasan mendalam antara Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan rangka kerja “Ekonomi MADANI” serta mengukuhkan kerjsama dalam ekonomi, perdagangan, pelaburan dan penghubungan infrastruktur. Projek-projek utama seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur(ECRL) dan “Dua Negara, Taman Berkembar” akan terus didorong untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh lebih ramai orang. 

Sebagai hasil lawatan kali ini, sebanyak 14 dokumen kerjasama antara China dan Malaysia tersenarai, antaranya terdapat dokumen yang mengenai bidang ekonomi digital, pembangunan hijau, teknologi dan pendidikan tinggi. Dengan mengambil peluang pembangunan produktiviti baru, kedua-dua negara akan meneroka potensi kerjasama dalam bidang baharu. Malaysia mengalu-alukan permohonan China untuk menyertai Perjanjian Komprehensif Dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), manakala China menghargai usaha Malaysia untuk memberikan peluang yang terbuka dan adil kepada syarikat-syarikat China dalam pembinaan rangkaian 5G di Malaysia. China mengalu-alukan lebih banyak produk pertanian berkualiti tinggi dari Malaysia masuk pasaran China. Berita mengenai eksport durian segar ke China segera menjadi tumpuan media dan rakyat kedua-dua negara. Para penggemar durian di China dan peladang buah-buahan Malaysia akhirnya mencapai hubungan yang saling menguntungkan.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan pertukaran budaya dan meletakkan asas kukuh bagi pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Malaysia di kalangan rakyat. China melanjutkan pengecualian visa bagi rakyat Malaysia sehingga akhir 2025 dan sebagai balasan, Malaysia akan melanjutkan pengecualin visa sehingga akhir 2026. Kerajaan kedua-dua negara akan meneruskan perundingan dan perbincangan mengenai pengecualian visa bagi memudahkan lawatan rakyat antara satu sama lain. Kedua-dua negara turut mengesahkan akan melaksanakan penyelidikan mengenai perlindungan panda bagi pusingan baharu, membolehkan panda terus menjadi duta persahabatan hubungan China-Malaysia. China dan Malaysia juga akan membuat pencalonan secara bersama Tarian Singa ke Perwakilan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Kemanusiaan, bersama-sama melindungi warisan budaya ini supaya ia dapat terus berkembang.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama pelbagai hala, memperkayakan makna Komuniti Berkongsi Nasib China-Malaysia di arena antarabangsa. Malaysia akan mengambil alih sebagai negara penyelaras hubungan Dialog ASEAN-China tidak lama lagi dan akan memegang jawatan sebagai negara pengerusi ASEAN pada tahun depan. China bersedia bekerjasama dengan Malaysia untuk membina hubungan komuniti China-ASEAN yang lebih erat. China dan Malaysia akan melancarkan mekanisme dialog dua hala mengenai isu-isu maritim, mengeratkan kerjasama maritim dan bersama-sama memelihara keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan. Kedua-dua negara menyatakan sokongan penuh untuk menyambung semula proses penyelesaian politik berdasarkan penyelesaian dua negara serta mencari jalan penyelesaian yang menyeluruh, adil dan berkekalan bagi isu Palestin seawal mungkin. 

Berdiri di titik permulaan sejarah yang baharu, marilah kita berpandukan kata sepakat yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara, terus berganding bahu dalam usaha menuju pemodenan dan menjana hubungan China-Malaysia ke arah lebih gemilang dalam masa 50 tahun akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here