KUALA LUMPUR, 1 Julai – Kerajaan memberi tumpuan kepada negeri dan wilayah yang mempunyai peratusan kemiskinan tegar lebih tinggi daripada paras nasional seperti Sabah, Kelantan, Sarawak dan Kedah dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata kerajaan memastikan penglibatan lebih ramai golongan sasar miskin tegar menyertai program pembasmian kemiskinan tegar yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi.

“Kerajaan terus komited untuk menoktahkan kemiskinan tegar tanpa mengira latar belakang kaum dan wilayah atau negeri selaras dengan matlamat pembangunan inklusif supaya tiada yang tertinggal dan terpinggir daripada arus pembangunan sosioekonomi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta Kementerian Ekonomi menyatakan negeri-negeri seterusnya yang disasarkan oleh kerajaan untuk mencapai sifar miskin tegar serta pelan tindakan.

Dari segi pelan tindakan, Hanifah Hajar berkata keutamaan akan diberi untuk memantapkan penyediaan infrastruktur, mengoptimumkan potensi ekonomi, menambah baik akses kepada perkhidmatan sosial, mempertingkatkan pembangunan inklusif dan memperkukuh kerjasama antara agensi Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Hal ini dilaksanakan untuk meningkatkan akses dan peluang pertumbuhan yang seterusnya dapat meningkatkan peluang pekerjaan, keusahawanan dan taraf hidup,” katanya.

Selain itu, kata Hanifah Hajar, kerajaan turut memperuntukkan sejumlah besar dana bagi melaksanakan program menangani kemiskinan di bawah pelbagai kementerian dan agensi antaranya meliputi bidang keusahawanan, modal insan dan program peningkatan pendapatan lain untuk ketua isi rumah (KIR) miskin tegar.

“Sebagai contoh, kerajaan melaksanakan beberapa program penjanaan pendapatan seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi, Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Usaha Kasih MADANI di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM),” katanya.

Beliau berkata tumpuan akan turut diberikan kepada ahli isi rumah (AIR) sebagai kaedah dalam membantu keluarga mereka keluar daripada belenggu kemiskinan serta mengurangkan masalah kemiskinan bergenerasi.

“Antara lain, AIR diberikan latihan dalam kerja serta latihan kemahiran yang bersesuaian bagi memastikan kemahiran mereka menepati keperluan pasaran semasa.

“Sebagai contoh, kerajaan melaksanakan program padanan pekerjaan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai usaha untuk memastikan golongan sasar miskin tegar mendapat pekerjaan, sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here