KUALA LUMPUR, 1 Julai – Terengganu dikenal pasti sebagai negeri strategik bagi pembangunan sektor Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di Malaysia.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata kluster industri di Kerteh dan Kemaman didapati mempunyai potensi besar untuk memanfaatkan teknologi CCUS terutamanya bagi menyahkarbon sektor-sektor yang sukar dinyahkarbon seperti industri besi dan keluli, simen dan petrokimia yang beroperasi di Terengganu.

“Ini adalah kerana lokasi kluster perindustrian ini yang berada dalam lingkungan cadangan hab CCUS Timur berpusat di Kerteh,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenai sejauh mana Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 berjaya melaksanakan empat misi yang ditetapkan sejak ia dilancarkan hampir setahun lepas dalam memajukan ekonomi serta meningkatkan produktiviti.

Liew berkata aktiviti untuk membangunkan CCUS sebagai sumber ekonomi baharu sedang dilaksanakan dengan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi.

Katanya beberapa kumpulan kerja ditubuhkan menerusi Jawatankuasa Pemandu yang diterajui oleh Kementerian Ekonomi dan dianggotai oleh pelbagai kementerian dan agensi untuk meneliti segala aspek yang terlibat dalam pembangunan ekosistem CCUS secara menyeluruh.

“Ini termasuk aspek perundangan, kewangan, pembangunan industri, pelaburan, teknologi, alam sekitar dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata Rang Undang-Undang CCUS disasar dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here