CANBERRA, 2 Julai – Samantha Mostyn secara rasmi telah mengangkat sumpah sebagai Gabenor Jeneral Australia ke-28, menjadi wakil rasmi raja British di negara itu.

Majlis angkat sumpah berlangsung di Bangunan Parlimen di sini, pada Isnin.

Mostyn, seorang pemimpin perniagaan dan komuniti terkemuka, menjadi wanita kedua yang berkhidmat sebagai Gabenor Jeneral Australia.

Bercakap selepas majlis itu, beliau berikrar untuk membawa kebaikan, keprihatinan dan rasa hormat kepada peranan berkenaan.

“Saya akan menjadi Gabenor Jeneral yang optimis, moden dan kelihatan, komited kepada perkhidmatan dan sumbangan yang diharapkan dan layak diterima oleh semua rakyat Australia daripada pemegang jawatan ini,” kata Mostyn.

Sebagai wakil raja British, Gabenor Jeneral melaksanakan tugas-tugas perlembagaan termasuk secara rasmi melantik perdana menteri (PM) dan menteri-menteri lain secara rasmi, mengarahkan pilihan raya dan memberikan perkenan diraja kepada Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh parlimen.

PM Anthony Albanese pada April mengumumkan bahawa Mostyn akan menggantikan David Hurley, yang tempoh lima tahunnya berakhir pada Ahad.

Mostyn, 59, memulakan kerjayanya sebagai peguam sebelum berkhidmat dalam lembaga pengarah beberapa syarikat, termasuk NGO seperti Majlis Iklim dan organisasi sokongan kesihatan mental Beyond Blue.

Sebelum dilantik sebagai Gabenor Jeneral, beliau merupakan pengerusi Pasukan Petugas Kesaksamaan Ekonomi Wanita kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here