NEW YORK, 2 Julai – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) sesi ke-78 pada Isnin sebulat suara menerima pakai resolusi yang dicadangkan China dan ditaja bersama oleh lebih 140 negara mengenai pengukuhan kerjasama antarabangsa dalam pembinaan kapasiti kecerdasan buatan (AI).

Resolusi mengenai “Enhancing International Cooperation on Capacity-building of Artificial Intelligence” menekankan bahawa pembangunan kecerdasan buatan harus mematuhi “prinsip berpusatkan manusia”, mempromosikan kecerdasan yang berfaedah dan bermanfaat untuk umat sejagat.

Resolusi ini menggalakkan kerjasama antarabangsa dan tindakan praktikal bagi membantu pelbagai negara terutamanya negara-negara membangun untuk memperkukuh pembangunan kapasiti AI mereka, meningkatkan perwakilan dan suara mereka dalam tadbir urus AI global, menyokong “persekitaran perniagaan yang terbuka, adil dan tanpa diskriminasi” serta menyokong PBB dalam memainkan peranan penting dalam kerjasama antarabangsa.

Resolusi ini bertujuan mencapai pembangunan kecerdasan buatan yang inklusif, bermanfaat dan mampan, seterusnya menyumbang kepada pencapaian Agenda 2030 PBB untuk Pembangunan Mampan.

Wakil tetap China ke PBB, Fu Cong menyatakan semasa memperkenalkan draf resolusi pada sesi pleno Perhimpunan Agung bahawa perkembangan pesat teknologi AI global memberi kesan mendalam terhadap pembangunan ekonomi dan sosial negara serta kemajuan tamadun manusia.

Bagaimanapun, kebanyakan negara terutamanya negara membangun masih belum benar-benar mengakses, menggunakan dan mendapat manfaat daripada AI, dan jurang digital global terus melebar.

“Banyak negara anggota PBB mengharapkan untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam pembangunan kapasiti AI, membangunkan dan menggunakan teknologi AI secara saksama serta berkongsi pengetahuan dan pencapaian AI,” katanya.

Fu menekankan bahawa resolusi ini memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti AI, mencadangkan beberapa langkah penting dan praktikal untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa yang berkaitan.

“Matlamatnya adalah untuk membantu semua negara terutamanya negara-negara membangun mendapat manfaat secara saksama daripada pembangunan AI, merapatkan jurang digital, memperbaiki tadbir urus AI global dan mempercepatkan pelaksanaan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan,” kata duta itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here