KUALA LUMPUR, 3 Julai – Iran melancarkan Jerayawara Pelancongan Asia Tenggara 2024 di ibu negara Malaysia pada Rabu yang  menekankan kepentingan memperkukuhkan hubungan pelancongan dua hala antara republik itu dan Malaysia.

Timbalan Menteri Warisan Budaya, Pelancongan dan Kraftangan Iran Ali Asghar Shalbafian dalam pelancaran jerayawara itu mengetengahkan usaha terbaharu Kerajaan Iran untuk merancakkan pelancongan dan menarik pelaburan termasuk menganjurkan jerayawara dan mempromosikan pelbagai tarikan pelancongan Iran secara agresif.

Shalbafian berkata Kementerian Warisan Budaya, Pelancongan, dan Kraftangan Iran juga telah menjemput agensi pelancongan terkemuka dari seluruh dunia untuk mengambil bahagian dalam sesi perniagaan-ke-perniagaan (B2B) bersama rakan sejawat mereka dari Iran.

“Kerajaan telah menerima maklum balas positif daripada perniagaan pelancongan global dan ramai individu yang mengakui  potensi Iran sebagai destinasi pelancongan. Inisiatif ini akan membantu menangkis herotan dan fabrikasi media mengenai negara ini,” katanya kepada Bernama di majlis itu.

Lebih 100 wakil daripada syarikat pelancongan Iran dan Malaysia menghadiri acara yang turut merangkumi sesi B2B.

Untuk menarik lebih ramai pelancong, Iran telah mengecualikan keperluan visa untuk lebih separuh daripada penduduk dunia, termasuk Malaysia dan kebanyakan negara Asia Tenggara.

Baru-baru ini, Iran memberikan pengecualian visa pelancong kepada 28 negara tambahan antaranya Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Tunisia, Tanzania, Mauritania, Zimbabwe, Mauritius, Seychelles, Jepun, Indonesia, Singapura, Cuba, Vietnam, Kemboja, Brunei, Brazil, Mexico, Peru, Croatia, Serbia, Bosnia , Belarus, dan India.

Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi yang turut hadir pada pelancaran itu, menekankan kepentingan membuka Iran kepada pelancongan, dan menonjolkan pelbagai destinasi menarik serta kesan positif yang boleh dibawa oleh pelancongan terhadap imej negara.

Nasrabadi mengakui bahawa reputasi Iran telah terjejas dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat gambaran negatif oleh media Barat tetapi beliau percaya bahawa pelancong yang melawat Iran akan mendapati bahawa persepsi negatif itu adalah tidak berasas.

“Membuka Iran untuk pelancongan menawarkan banyak manfaat, termasuk potensi ekonomi dan sosial, serta kemajuan dalam sains dan teknologi. Kami mengajak orang ramai dari seluruh dunia untuk melawat Iran dan merasai keadaan sebenar negara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here