KUALA LUMPUR, 3 Julai – Malaysia buat kali pertama menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) 2024 yang bermula hari ini hingga Jumaat ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata program yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu diadakan sempena Pameran Seni Bina, Rekabentuk Dalaman dan Pembinaan Antarabangsa kali ke-23 (ARCHIDEX) 2024 yang turut bermula hari ini hingga Sabtu ini.

Beliau berkata mesyuarat yang akan dihadiri pemimpin dari 11 negara termasuk negara ASEAN dan China itu bakal membincangkan strategi bagi meningkatkan kerjasama serantau khususnya dalam bidang pembinaan, perumahan serta pembangunan bandar.

“Terdapat tiga agenda utama iaitu pertama ialah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG); kedua, Agenda Perbandaran Baharu dan ketiga, Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

“Dengan menggabungkan ketiga-tiga agenda ini, kita bertujuan untuk membina masa depan mampan untuk kemakmuran bersama di rantau ini,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan Program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM hari ini.

Tema ACMROCH 2024 ialah “Membina Masa Depan yang Mampan: Memperdalam Kerjasama ASEAN-China dalam Pembinaan dan Pembangunan Bandar untuk Kemakmuran Bersama”. 

Nga berkata satu forum tentang pembangunan bandar secara mampan antara pakar dan pemain industri serantau turut dianjurkan pada ACMROCH 2024.

“Kita juga akan membawa delegasi negara lain melawat pusat kewangan antarabangsa kita di Tun Razak Exchange (TRX) untuk mempromosikan pembinaan Malaysia yang bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata sejajar dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan, ACMROCH 2024 dilihat sebagai platform penting untuk meningkatkan kerjasama serantau dan menangani cabaran utama dalam sektor pembinaan dan perumahan.

Mengulas mengenai kepentingan kemampanan dalam pembangunan bandar, Nga berkata jumlah populasi negara di kawasan bandar dijangka meningkat daripada 78 hingga 85 peratus menjelang 2040.

Justeru katanya, negara memerlukan pembangunan bandar yang mampan untuk keselamatan dan keselesaan semua, terutama untuk berdepan risiko bencana alam yang tidak dijangka akibat perubahan iklim.

“Kita ingin memperkenalkan teknologi terkini seperti lampu isyarat pintar, rumah pintar dan membina bangunan hijau untuk mengurangkan pelepasan karbon.

“Melalui teknologi hijau dan seni bina yang terkini, kita yakin bahawa Malaysia akan terus menerajui bidang perancangan bandar secara mampan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here