KUALA LUMPUR, 3 Julai – Rang Undang-undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu antara lain bertujuan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) dibentangkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut naskah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, rang undang-undang itu antara lain meminda tajuk panjang Akta 283 untuk memperluas ruang lingkupnya supaya merangkumi penagih bahan dan penyalah guna dadah atau bahan.

Pindaan juga bertujuan meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan atau penyalah guna dadah atau bahan, selain pindaan Seksyen 3 untuk memperuntukkan seseorang pegawai boleh menahan dalam jagaan mana-mana orang yang dengan munasabah disyakinya sebagai penagih dadah atau bahan atau penyalah guna dadah atau bahan.

Selain itu, rang undang-undang terbabit juga akan meminda Seksyen 5 berhubung dengan obligasi mana-mana penagih dadah atau bahan atau penyalah guna dadah atau bahan yang disyaki untuk menjalani tatacara ujian.

Pindaan turut meliputi penggantian Seksyen 12 untuk memberi ketua pengarah kuasa menyingkatkan tempoh rawatan dan pemulihan mana-mana orang di mana-mana pusat pemulihan atau pusat khidmat atau dalam komuniti atas apa-apa sebab yang difikirkan patut oleh ketua pengarah.

Saifuddin Nasution berkata bacaan kedua dan ketiga rang undang-undang berkenaan dijadual dibentangkan pada mesyuarat yang sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here