KUALA LUMPUR, 4 Julai – Teknologi 5G memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi digital negara melalui pemupukan keusahawanan dan mengembangkan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata sumbangan 5G kepada ekonomi negara juga dijangka meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan mewujudkan perkhidmatan dan industri baharu, mencipta model perniagaan baharu serta meningkatkan produktiviti dan kecekapannya, merentasi pelbagai titik sentuh berlainan.

“Pembangunan 5G seiring dengan matlamat kerajaan untuk melihat pertumbuhan inklusif dan memastikan digitalisasi memberikan manfaat kepada semua segmen masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, hari ini.

Mengenai MoU itu, Fahmi berkata ia bertujuan untuk membolehkan sektor vertikal serta PKS untuk memanfaatkan penggunaan teknologi 5G.

Beliau berkata melalui MoU itu juga, MCMC akan menyediakan sokongan teknikal dan latihan bagi persediaan menuju integrasi 5G, selain menekankan kepentingan memanfaatkan kemajuan teknologi 5G kepada industri terlibat.

MIDA pula berperanan untuk mengenal pasti syarikat berpotensi yang dapat memanfaatkan teknologi 5G dalam memajukan perniagaan masing-masing.

“Pendekatan tersebut akan dapat memastikan penerimagunaan 5G lebih pantas dan efisien serta memenuhi keperluan pelbagai sektor. Melalui usaha kolektif ini, kerajaan akan membuka potensi penuh 5G, memacu inovasi, mengubah industri dan membentuk Malaysia yang lebih terhubung.

“Saya berharap dengan termeterainya MoU ini, akan membuka lembaran baharu kepada sektor vertikal dan PKS di negara ini agar lebih berdaya saing serta meningkatkan produktiviti dalam menguruskan perniagaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here