KUALA LUMPUR, 4 Julai – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024 yang bertujuan meluaskan kuasa Ketua Audit Negara bagi memeriksa, menyiasat dan mengaudit akaun mana-mana badan lain.

RUU bagi meminda Akta Audit 1957 (Akta 62) itu, diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 26 Ahli Parlimen dari kerajaan dan blok pembangkang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata pindaan itu penting, bagi memperkasa peranan Jabatan Audit Negara untuk membina kepercayaan awam dalam pentadbiran negara, dengan menyediakan pengauditan bebas dan objektif terhadap perbelanjaan kerajaan.

“Jabatan Audit Negara memainkan peranan penting dalam rangka kerja tadbir urus yang baik, dengan memastikan aktiviti dan perbelanjaan kerajaan dijalankan dengan bertanggungjawab dan beretika.

“Dengan pindaan ini saya pasti Jabatan Audit Negara akan menjadi sebuah institusi yang lebih kukuh bagi menjadikan negara demokratik yang lebih matang,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Bacaan kali pertama RUU itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada 27 Jun oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sementara itu, Jabatan Audit Negara dalam kenyataan memaklumkan Pindaan Akta Audit 1957 akan memberi impak positif, melalui skop pengauditan terhadap pengurusan wang awam.

Selain itu, ia juga dapat memastikan syor audit sentiasa diberi perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak sama ada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, serta mana-mana badan termasuk syarikat yang menerima wang awam.

Menurut kenyataan itu seramai 35 ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang menyertai sesi libat urus bersama Azalina pada Isnin, serta mendengar pembentangan daripada Ketua Audit Negara mengenai inti pati pindaan dalam  RUU berkenaan.

“Akta Audit 1957 (Akta 62) sedia ada tidak dipinda sejak 1991 (33 tahun yang lepas) dan perlu diperkasakan selaras dengan perkembangan terkini yang menyentuh aspek tatakelola dan pengurusan wang awam.

Pindaan juga bertujuan memperkasakan peranan Ketua Audit Negara dalam memastikan fungsi semak dan imbang, melalui tiga pengauditan utama iaitu pengauditan penyata kewangan, pengauditan prestasi program atau aktiviti kementerian/jabatan/agensi kerajaan serta pengauditan pengurusan syarikat kerajaan,” menurut kenyataan itu lagi.

Persidangan Dewan Rakyat hari ini turut meluluskan Rang Undang-Undang Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024 sebagai usaha memperbaiki kedudukan Malaysia dalam penilaian Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata perkara itu perlu dilakukan kerana Malaysia ketika ini dinilai sebagai hanya mematuhi sebahagian piawaian FATF berkaitan pelaporan pemunya benefisial. 

“Ketidakpatuhan (kepada) peruntukan FATF boleh menyebabkan Malaysia diletakkan dalam senarai kelabu atau hitam, mengikut tahap ketidakpatuhan.

“Kerangka ini penting bagi memastikan kedudukan Malaysia selain menarik pelabur asing jika melihat Malaysia mempunyai kerangka perundangan yang sihat, komprehensif dan menggalakkan ketulusan dalam tadbir urus korporat,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu kemudian diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian untuk membahaskannya.

FATF adalah badan antara kerajaan yang ditubuh pada 1989 oleh Menteri-Menteri negara anggota.

Objektif FATF ialah menetapkan piawaian serta menggalakkan pelaksanaan secara efektif, langkah-langkah perundangan, kawal selia dan operasi untuk membanteras aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan pembiayaan dan ancaman berkaitan lain terhadap integriti sistem kewangan antarabangsa. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here