BEIJING, 11 Julai – Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dalam pertemuan yang diadakan di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada petang Rabu, telah mengumumkan untuk meningkatkan hubungan dua hala ke Perkongsian Strategik Komprehensif.

Xi menyatakan bahawa China amat menghargai persahabatan yang mendalam yang dibina oleh pemimpin generasi tua kedua-dua negara, bersedia mengambil kesempatan yang wujud dalam perayaan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Bangladesh pada tahun depan memperkasakan pelaksanaan projek pembangunan bersama yang berkualiti dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), dan menambah dimensi kerjasama dalam pelbagai bidang untuk mendorong Perkongsian Strategik Komprehensif bilateral berkembang mantap.

“China bersedia mengadakan pertukaran dengan Bangladesh tentang pengalaman tadbir urus kepartian dan kenegaraan serta dasar pembangunan, mempertingkat penyelarasan dalam pelaksanaan strategi pembangunan di negara masing-masing, merancakkan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan dan kesalinghubungan, menyokong lebih banyak syarikat China meningkatkan kerjasama pelaburan industri dengan pihak Bangladesh, meningkatkan kelancaran dan kelangsungan antara rantaian industri dan rantaian pembekalan kedua-dua negara, yang kesemuanya dipercayai kondusif bagi pembangunan negara Bangladesh,” ujar Xi.

“China bersedia mengeratkan koordinasi dengan Bangladesh dalam menangani urusan antarabangsa dan serantau, meningkatkan penyelarasan dan kerjasama dalam kerangka Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mengamalkan nilai-nilai universal dan menggerakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan,” tambah Xi.

Hasina dalam pertemuan itu pula menyatakan bahawa Bangladesh akan terus dengan aktif menyertai pembinaan bersama di bawah BRI, dan juga mengharapkan China membantu negaranya dalam memperjuangkan Wawasan 2041 melalui penglibatan dalam pelaksanaan rancangan pembangunan integrasi di kawasan bahagian selatan Bangladesh.

Beliau menekankan bahawa pihaknya konsisten dalam mengamalkan prinsip Satu China, menyokong pendirian China dalam isu Taiwan, menentang kuasa luar mencampuri urusan dalaman China dan menyokong usaha China untuk memelihara kepentingan teras negara sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here