ROM, 12 Julai – Itali kini berdepan dengan gelombang haba melampau yang berpunca dari Afrika, menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan “amaran merah” untuk suhu tinggi di 11 bandar pada Jumaat.

Keadaan cuaca yang teruk telah menyebabkan panas terik di ibu negara Rom dengan suhu dicatatkan antara 40C hingga 42C (104F hingga 107F) pada tengah hari.

Kementerian Kesihatan yang mengkategorikan tahap risiko suhu kepada empat kod warna, menaikkan tujuh bandar kepada kategori tertinggi “merah” pada Khamis apabila gelombang haba terus meningkat.

Antara bandar terlibat ialah Rom dengan gelombang haba telah memberi kesan ketara terhadap kehidupan seharian.

Pelancong yang melawat bandar bersejarah itu dilihat menggunakan payung untuk melindungi diri mereka daripada cahaya matahari terik.

Spanish Steps yang biasanya penuh dengan pengunjung, kelihatan lengang disebabkan oleh suhu yang melambung tinggi.

Situasi itu mengakibatkan orang ramai mencari kelegaan dengan menyejukkan diri di kawasan air pancut di bandar itu.

Sebagai tindak balas kepada keadaan melampau itu, pihak berkuasa telah memasang kipas besar dan khemah mudah alih di lokasi pelancongan popular, termasuk Colosseum untuk menyediakan kawasan teduhan dan kemudahan penyejukan kepada pengunjung.

Kementerian Kesihatan juga telah memperluas amaran “merah” dengan memasukkan empat bandar tambahan pada Jumaat, menjadikan jumlah bandar yang berada di bawah amaran berisiko tinggi kepada 11.

Bandar yang terjejas kini termasuk Rom, Florence, Bologna, Campobasso, Frosinone, Latina, Perugia, Pescara, Rieti, Trieste dan Viterbo.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here